Pangeran Suta Wijaya ( Hikayat Johor )
Navigasi Info -
Syahdan tatkala itu yang di pertuan besar sultan Sulaiman ada datang ke Melaka dari Riau di panggil Gurundur dalam Melaka hendaklah berbicara. Maka sultan Sulaiman pun memanggil Seliwatang serta tengku Raja Selangor ke Melaka dan penggawa Miskin dan datuk syahbandar nakhoda Tapuli dan segala orang tua dalam Selangor pergi ke Melaka tiada singgah di Pedas.
Pangeran Suta Wijaya ( Hikayat Johor ) |
Kemudian sampai ke Melaka lalu naiklah bertemu dengan yang di pertuan besar di Bunga Raya maka berbicaralah dengan Walanda dan yang di pertuan besar dan Seliwatang syahdan tiadalah fakir tiada ketahui bicaranya itu.
Kemudian maka Seliwatang serta tengku Raja Selangor dan segala orang Selangor pun kembali ke Pedas bertemu dengan yang di pertuan muda di Pedas. Kemudian daripada itu maka yang di pertuan muda pun berangkat di negeri Selangor bersama2 dengan Seliwatang dan tengku Raja Selangor dan segala orang tua2 di Selangor sekelian dari Pedas dan anakda raja Endud pun ada serta dan tengku Raja Haji pun bersama juga ke Selangor dengan kekanda baginda.
Setelah sampai ke Selangor yang di pertuan muda serta dengan adinda baginda sekelian maka yang di pertuan muda pun mendudukkan anakda baginda raja Endud dengan anak Seliwatang yang bernama Encik Lijah kemudian maka tengku Raja Haji pun berlayar ke Asahan. Setelah sampai ke Asahan tengku itu maka bertemulah dengan yang di pertuan Asahan maka tengku itu pun membeli perahu seluba layar sirit sebuah lalu di bawa kembali ke Selangor.
Sampai ke Selangor maka perahu itu pun di tutuh di buat penjajab maka itulah di namai Bulang Ganggi maka duli yang di pertuan muda pun semayam di Selangor. Tiada berapa lamanya maka yang di pertuan pun berangkat kembali ke Pedas bersama-sama dengan tengku Raja Selangor dan Seliwatang dan penggawa tua dan penggawa muda dan datuk syahbandar Tapuli dan tengku Raja Said sahaja tinggal menunggu Selangor.
Telah sampai di Pedas tiada berapa lamanya maka yang di pertuan muda serta Seliwatang dan segala raja2 itu pun berangkat ke Melaka pergi damai serta berbicara. Ada kira2 dua belas (12) hari lamanya duduk di Telengkera itu kemudian daripada itu maka baharulah keluar Gurundur Walanda serta dengan orang besarnya Walanda yang dalam Melaka.
Ada sebuah gedung di luar pintu Telengkera maka di situlah bertemulah yang di pertuan muda serta raja2 itu dengan Gurundur Walanda serta orang besar2nya itu bertemu di dalam gedung berbicara serta berjanji-janji setia Bugis dengan kompeni sudahlah ia berbicara itu dan setia.
Maka kemudian dari itu maka duli yang di pertuan pun berangkat kembali ke Pedas maka sampai ke Pedas. Maka tengku raja Selangor pun kembali ke Selangor serta Seliwatang dan segala orang tua2 dan orang banyak sekelian maka yang di pertuan muda pun semayamlah di Pedas. Tiada berapa lamanya antaranya kembalinya orang Selangor kemudian dari itu tengku Raja Haji pun berlayar pergi ke Riau sampai di kuala Selat Tiwang.
Maka tengku itu pun bertemu wangkang maka di ambil tengku itu wangkang itu muatannya adalah kira2nya setengah. Maka perahu pun tiada termuat lalulah tengku itu pergi ke Riau mengambil raja Aminah dan raja Halimah dan segala anak Bugis yang di suruh yang di pertuan Terengganu keluar dari Riau tatkala sudah di langgarnya yang di pertuan muda di Linggi oleh Walanda bersama-sama Melayu.
Maka dia kembali ke Riau lalulah di suruhnya anak Bugis keluar dari dalam Riau maka itulah yag di ambil tengku Raja Haji di bawa kembali ke Pedas.
Syahdan telah sampailah tengku itu ke Pedas dan adinda kedua itu dengan segala anak Bugis maka duduklah di Pedas dengan duli yang di pertuan muda. Kemudian maka tengku Raja Haji pun bersiap hendak pergi pula ke Riau syahdan maka tengku raja Haji pun berlayar dari Riau bersama-sama dengan raja tua Encik Andak. Kemudian tengku raja Selangor pun pergi juga ke Riau serta dengan Seliwatang dan penggawa tua dan penggawa muda dan syahbandar nakhoda Tapuli dan segala orang Selangor tetapi kemudian daripada itu tengku Raja Haji berlayar dari Selangor pergi tengku raja Haji dan raja tua berlayar dari Pedas ke Riau.
Telah sampailah tengku itu ke Riau lalu masuk ke Riau maka segala raja2 Melayu dan panglima Melayu sekeliannya hendak membedil tengku itu. Maka tiada di endahkan tengku itu melainkan di layarkannya juga linggi itu hingga sampai ke Batangan bertentangan dengan istana yang di pertuan besar. Maka baharulah duli buah Bulang Linggi itu maka tiada di benarkan yang di pertuan besar membedil tengku itu maka baginda pun bertitah menyuruh panggil tengku itu naik ke darat mengadap yang di pertuan besar.
Maka titah duli yang di pertuan besar kepada tengku itu “Apa kehendak Raja Haji datang dan hendak kemana pergi”. Maka sembah tengku itu “Patik hendak mengadap sahaja sebab sudah lama tiada patik mengadap itulah patik mengadap”. Kemudian titah yang di pertuan besar kepada tengku Raja Haji “Apa bicara Raja Haji sekarang ini” maka sembah tengku itu “Tiada bicara kepada patik melainkan kepada duli tuanku juga”.
Maka titah yang di pertuan besar “Mana adat yang hendak di pakai oleh Raja Haji kerana adat dulu suatu adat marhum mangkat di sungai Baru buat adat marhum mangkat di Kota. Yang mana hendak pakai oleh Raja Haji”.
Maka sembah tengku itu “Adat marhum mangkat di sungai Baru itulah adat dan yang kepada marhum mangkat di Kota itu adat baharu. Sebab duli tuanku saudara bersaudara lebih kurang tiada mengapa kerana yang kepada marhum Sungai Baru itu adat perjanjian sumpah setia” maka titah yang di pertuan besar “Baiklah”.
Kemudian dari itu maka tengku raja Selangor dan penggawa dan Seliwatang dan penggawa muda telah berlayar dari Selangor dengan segala orang Selangor.
Maka sampailah ke Baruh maka bertemulah tengku raja di Baruh dan segala panglimanya orang Melayu dengan tengku Raja Selangor serta dengan orang sekelian bersama2 dengan tengku itu lalu berhadapan penjajab Selangor dengan penjajab orang Riau itu. Di dalam kepada itu maka yang di pertuan besar menyuruh menyambut anakda baginda raja di Baruh serta dengan tengku raja Selangor segala orang tua2 yang dari Selangor titah di suruh masuk ke dalam Riaulah.
Kemudian daripada itu maka segala mereka itu masuklah ke dalam Riau berkampung dan setelah itu maka duli yang di pertuan besar pun bertitah memanggil tengku Raja Selangor naik dan tengku raja Haji dan segala orang tua2 yang dari Selangor. Maka segala mereka itu pun naiklah mengadap yang di pertuan besar maka sultan Sulaiman Badar Al Alam Syah pun bertitah kepada tengku Raja Selangor dan tengku Raja Haji dan segala orang tua-tua pegawai dari Selangor dengan segala orangnya.
Maka adalah hadir mereka itu yang kedua pihak Melayu dan Bugis duduk maka yang di pertuan besar pun memulangkan perintah bicara sekeliannya kepada orang Bugis. Maka di terimalah oleh orang Bugis lalu bertitah sultan Sulaiman baca doa maka di bacalah dia tanda selamat. Maka menadah Amin segala orang Bugis dan Melayu maka itulah adanya perbuatan Melayu dan Bugis.
Kemudian maka titah yang di pertuan besar kepada tengku Raja Selangor dan tengku Raja Haji melainkan pergilah ke Linggi ambil raja muda kembali ke Riau serta anakda baginda raja di Baruh pun di titahkan oleh paduka ayahanda baginda bersama2 pergi ke Linggi mengambil raja muda dengan kekanda kedua. Syahdan maka raja2 ketiganya pun berlayarlah kembali ke Pedas serta dengan orang tua2 dan orang banyak sekelian.
Telah sampailah ke Pedas segala raja2 itu maka mengadaplah yang di pertuan muda kemudian dari itu maka tengku Raja Selangor pun tengku raja di Baruh pun berlayarlah ke Selangor serta orang banyak sekelian dan Daeng Tumuk pun ada serta. Setelah sampai ke Selangor raja2 kedua itu dan segala orang banyak maka tiada berapa berapa lamanya di dalam Selangor raja2 itu kemudian maka datanglah suruh dari Riau mengatakan duli yang di pertuan sudah mangkat.
Tatkala masa itu tengku Raja di Baruh pun tengah lagi gering tiada berapa antaranya datang suruh itu maka Raja di Baruh pun mangkat di dalam Selangor. Maka di perbuatkan keranda maka di masukkan ke dalam keranda.
Kemudian dari itu maka di bawa ke Pedas keranda itu maka yang di pertuan muda pun bersiap hendak berangkat pindah dari Pedas. Maka sudah siap lalulah berangkat berlayar ke Riau serta membawa keranda tengku Raja di Baruh itu.
Setelah sampai ke Riau yang di pertuan muda lalu di tanamkan keranda tengku Raja di Baruh di Batangan bersama2 dengan paduka ayahanda marhum Batangan sultan Sulaiman. Kemudian dari itu maka yang di pertuan muda pun hendak berbuat istana di Pengkalan Rama. Baharu memasukkan rasaknya belum lagi ia berdiri maka tengku Raja Haji pun keluar dari Riau ke Lingga dengan tiga (3) buah kakab yang mengiringkan tengku itu pak Landak Encik Ukang namanya sebuah kakab dan Encik Sarak sebuah kakab. Maka tengku itu sebuah pemayung jadi tiga buah kakab maka duduklah tengku itu di Lingga.
Tiada berapa lamanya di Lingga maka suruh sultan Jambi jemput ke Jambi maka lalu tengku Raja Haji pergi ke Jambi.
Setelah sampailah tengku itu ke Jambi lalu bertemulah dengan sultan Jambi kemudian dari itu maka tengku Raja Haji itu pun di dudukkan dengan anakda baginda Ratu Mas. Maka tengku itu puh di gelar sultan Jambi akan anakda baginda Pangeran Suta Wijaya. Syahdan maka Pangeran Suta Wijaya pun duduklah di Jambi tiada berapa lamanya di Jambi maka Pangeran Suta Wijaya pun keluar dari Jambi pergi ke Inderagiri.
Setelah sampai ke Inderagiri lalu beristerikan anakda raja besar Inderagiri maka duduklah Pangeran Suta Wijaya di Inderagiri. Tiada berapa lamanya maka Pangeran Suta Wijaya pun keluar dari Inderagiri pergi ke Ratih lalu berperanglah dengan raja Hijau dan raja Bayang maka raja Hijau dan Raja Bayang pun alahlah.
Maka Pangeran Suta Wijaya pun kembali ke Inderagiri lalu berbuat negeri di kuala Cinaku maka Pangeran Suta Wijaya pun duduklah di kuala Cinaku maka surat penyuruh pulang pergi ke Riau kepada adinda kedua.
Syahdan inilah cetera tengku Raja Selangor sudah kembali yang di pertuan muda ke Riau maka berapa lama antaranya maka tengku itu pun berangkat pergi bermain2 ke Pangkor. Di dalam kepada itu maka kedengaranlah kepada yang di pertuan Peraklah ada tengku Raja Selangor di Pangkor.
Maka di suruhnya yang di pertuan Perak persilakan ke dalam Perak maka tengku raja Selangor pun berangkat masuk ke dalam Perak. Maka bertemulah tengku Raja Selangor dengan yang di pertuan Perak.
Di dalam kepada itu maka tengku itu pun di lantik yang di pertuan Perak di gelar sultan Sholeh Al Din yang di pertuan Selangor serta di nobatkan. Kemudian dari itu maka yang di pertuan Selangor pun berangkat kembali ke Selangor serta dengan orang besar2 Perak. Setelah sampai ke Selangor maka yang di pertuan Selangor pun di tabalkan orang Selangor sekelian bersama2 dengan orang besar2 Perak di dalam Selangor maka jadilah yang di pertuan Selangor.
Syahdan tiada berapa lamanya yang di pertuan kerajaan di dalam Selangor maka datanglah suruh yang di pertuan Kedah ke Selangor hendaklah meminang anakda baginda dengan anakda yang di pertuan Kedah yang bernama sultan A’bada Allaha. Kemudian dari itu maka lalulah di terima baginda dengan muafakat segala orang besar2 yang tiga (3) suku maka berjanji tiga (3) bulan akan datang ke Selangor sultan A’bada Allaha serta dengan orang banyaknya dan raja2 Kedah dan hulubalang Kedah akan mengiringkan sultan itu ke Selangor akan kahwin dengan putera baginda yang di pertuan Selangor.
Syahdan maka sampai janjinya tiga (3) bulan maka sultan A’bada Allaha pun datanglah ke Selangor dengan Tukku Mangku Putera dan Tukku Lang Putera dan Tengku Angah ayah tengku Amat dua laki isteri dengan tengku Bunga putera Kelana Encik Unuk dan datuk laksamana Kedah sekeliannya itu membawa sultan A’bada Allaha ke Selangor akan kahwin di dalam Selangor dengan putera sultan Sholeh Al Din yang di pertuan Selangor.
Kemudian dari itu tiada berapa lamanya di dalam Selangor duduk maka di mulailah pekerjaan oleh yang di pertuan Selangor akan mengahwinkan anakda dengan raja Kedah sultan A’bada Allaha. Maka bekerjalah ada kira2 tiga (3) bulan lamanya bekerja lalu kahwinlah baginda anakda. Kemudian dari itu maka adalah sultan Kedah duduk di dalam Selangor tatkala sudah kahwin adalah kira2 tiga (3) bulan lamanya. Maka dia pun bermohonlah kepada ayahanda baginda yang di pertuan Selangor maka benarlah kepada baginda.
Syahdan maka sultan A’bada Allaha pun kembali ke Kedah telah sampai ke Kedah maka duduklah di Kedah. Ada berapa lamanya maka dia pun kembali ke Selangor pula maka lalu bertemu dengan paduka ayahanda yang di pertuan Selangor di Pangkor kerana yang di pertuan Selangor pergi bermain2 ke Pangkor. Maka sultan Kedah pun sudah bertemu ayahanda baginda lalu berlayar ke Selangor paduka ayahanda tinggal lagi di Pangkor bermain2.
Setelah sampai sultan A’bada Allaha ke Selangor pun kembali dari Pangkor lalu mengadap bonda baginda tengku pun kemudian daripada itu yang di pertuan Selangor pun kembali dari Pangkor.
Tiada berapa lama antaranya sultan Kedah duduklah di dalam Selangor maka ia pun bermohonlah kepada yang di pertuan Selangor hendak kembali ke Kedah di bawa laksamana.
Maka berjanji sultan Kedah umur tiga (3) bulan dia mengadap ayahanda baginda. Jikalau tiada datang di dalam tiga (3) bulan maka sudahlah dia di lepaskan oleh yang di pertuan Selangor.
Maka sampailah umur tiga (3) bulan dia pun tiada datang lalulah selesailah antara laki isteri sultan Kedah dengan tengku besar putera yang di pertuan Selangor Anatahaya.
Ini cetera yang di pertuan muda Daeng Kemboja tatkala semayam di Riau kembali dari Pedas. Tiada berapa lamanya maka datanglah kici dari Melaka telah di suruh oleh Gurundur Melaka menunggu hutang yang di pertuan besar sultan Sulaiman tatkala perang Siak belanjanya kompeni dan belanja melanggar Linggi. Maka yang di pertuan muda pun menghimpunkan raja2 Melayu dan datuk temenggung itu.
Maka yang di pertuan muda pun bertitahlah kepada raja2 Melayu dan datuk temenggung “Apa bicaralah raja2 Melayu dan orang kaya temenggung akan hal hutang marhum besar ini kepada Walanda inilah apa bicara datang menunggu”. Maka jawab segala raja2 itu datuk temenggung “Apalah hendak di bayarkan melainkan pulang kepada yang bicara itu” jawab datuk temenggung. Maka titah yang di pertuan muda kepada segala raja2 itu “Bagaimanalah jikalau ada yang cakap membayar hutang marhum itu. Apa bicara”.
Maka jawab segala raja-raja itu dan datuk temenggung itu dengan muafakat segala raja2 itu dengan datuk temenggung “Apatah bicara melainkan barang siapa membayar dialah memerintah di dalam tanah Johor ini”. Maka titah yang di pertuan muda “Kitalah yang membayar hutang marhum”.
Maka yang di pertuan muda pun bertunggu tiga bulan akan membayar hutang marhum lamanya.
Kemudian daripada itu Walanda itu pun kembali ke Melaka. Maka sampailah umur tiga bulan keempatnya dia pun datang lalu menerima kepada yang di pertuan akan hal hutang marhum itu tiga laksa tiga ribu empat ratus lima puluh tujuh (33,457) ringgit.
Kemudian maka raja Ismail anak raja Buang pun datang ke Riau lari dari Siak alah oleh Walanda dengan raja Alam hendak masuk ke Riau. Tiada di beri oleh yang di pertuan Muda kerana sebab musuh kompeni kerana Bugis sudah berbaik dengan Walanda.
Maka lalu di suruh datuk bendahara pergi ke Siantan lalu raja Ismail berlayar ke Siantan syahdan maka yang di pertuan muda pun duduklah di Riau.
Berapa lamanya maka datanglah khabar dari Siak mengatakan engku puan Daeng Tijah isteri yang di pertuan raja Alam sudah mangkat di Siak adinda baginda yang di pertuan muda seayah dan sebonda seayah.
maka yang di pertuan muda pun hendak berangkat ke Siak pergi ziarah kepada kubur adinda baginda maka yang di pertuan muda pun berangkat ke Siak sampai ke Gantung. Maka tiada di beri masuk ke dalam istana Siak oleh raja Mahamad Ali kerana dia kerajaan di dalam Siak raja Alam sudah mangkat.
Maka sebab tiada di terimanya masuk ke Siak kerana dia kerajaan takut sebab datang surat fitnah mengatakan yang di pertuan muda berangkat ke Siak itu bukan hendak baik melainkan hendak melanggar Siak niatnya melainkan jangan di terima melainkan hingga berbunyi meriam di Siak tahukan menyala api di dalam Riau. Itulah sebabnya maka yang di pertuan muda pun berbalik ke Riau.
Kemudian tatkala itu maka raja tua berlayar ke Palembang membawa bondanya dari keluar dari Riau. Syahdan tatkala itu raja Ismail anak raja Buang datang dari Terengganu adalah kira2 enam puluh (60) penjajabnya sampai seratus (100) dengan raja Negara dan segala rakyat Singapura pun ada serta dengan dia menanti di Singapura. Kemudian dari itu maka datuk penggawa pun datang dari Selangor maka bertemu di Singapura lalu di tahan oleh raja Ismail perahunya dia minta bicara kepada datuk itu dia hendak melanggar Riau.
Syahdan datuk penggawa Puna Setia meninggalkan perahunya di Singapura maka dia masuk bersampan ke dalam Riau. Setelah sampai ke Riau maka lalu mengadap duli yang di pertuan muda memohonkan penjajab ke bawah duli yang di pertuan barang yang ada di dalam Riau. Maka duli yang di pertuan muda kurniakan penjajab ada kira2 dua puluh (20) buah dan baginda sendiri berangkat ke Singapura bersama2 datuk penggawa Puna Setia.
Sampai ke Singapura lalu berperanglah di Tanah Merah ada kira2 dua hari ketiganya berperang maka raja Ismail pun larilah. Maka perahu raja A’bada Allaha pun di dapatlah maka terlalulah banyak mati orang Siak. Syahdan Seliwatang di suruh yang di pertuan mengambil Pangeran Suta Wijaya ke Inderagiri maka Pangeran Suta Wijaya pun datang bersama2 Seliwatang. Baharu sampai ke Buru raja Ismail pun larilah maka bertemu Pangeran Suta Wijaya dengan raja Ismail di Buru maka tiada di pengapa kerana orang sudah lari.
Maka Pangeran Suta Wijaya pun lalulah berlayar ke Riau bersama2 dengan Seliwatang lalu masuk ke dalam Riau. Kemudian daripada itu maka Seliwatang pun di titahkan yang di pertuan muda anakda raja Endud dan raja Yusuf ke Selangor.
Syahdan tatkala sudah mangkat yang di pertuan besar sultan Sulaiman maka cunda baginda sultan Ahmad yang bergelar yang di pertuan besar di negeri Riau kekanda baginda sultan Mahmud itu pun sudah mangkat. Maka sultan Mahmud itu pun lagi kecil maka semayamlah di dalam istana yang di pertuan muda bersama2 dengan bonda baginda tengku Hitam.
Syahdan Seliwatang membawa raja Endud dan raja Yusuf ke Selangor sampai ke Batu Musang maka ribut pun turunlah lalu perahu Seliwatang pun pecah naik ke Batu lalu raja2 keduanya itu lepas ke kuala Linggi. Maka tiba2 datanglah jaga2 Melaka dua buah lalu di perangnya raja2 yang keduanya itu maka di ambil perahunya kedua raja2 itu dan di bawanya masuk ke Melaka. Maka raja2 kedua itu di bawalah oleh Seliwatang ke Selangor.
Kemudian dari itu maka Pangeran Suta Wijaya di titahkan duli yang di pertuan muda pergi ke Melaka membayar akan harta raja Endud itu dan raja Yusuf serta dengan perahunya. Dalam kepada itu Pangeran Suta Wijaya pun pergi ke Melaka serta dengan penggawa Puna Setia sampai ke Melaka. Maka Pangeran Suta Wijaya berbicara ke Melaka lalu di pulangkannya segala harta itu dan perahunya mana yang ada, mana yang tiada lagi maka di gantinya sekeliannya. Maka sudah selesailah daripada perkara itu maka Pangeran Suta Wijaya pun berlayarlah ke Selangor.
Setelah sampai ke Selangor maka Pangeran pun bertemu dengan kekanda baginda yang di pertuan Selangor. Kemudian dari itu maka Pangeran Suta Wijaya pun berbicara dengan kekanda baginda yang di pertuan Selangor lalu mendudukkan anakda raja Ali dengan anakda Panawah yang bergelar tengku besar.
Syahdan maka Pangeran Suta Wijaya pun membawa kekanda baginda yang di pertuan Selangor serta anakda raja Ibrahim bergelar tengku tengah kemudian kembali ke Riau.
Setelah Pangeran Suta Wijaya sampai ke Riau dengan kekanda dan anakda lalu mengadap yang di pertuan muda maka bertemulah antara kekanda kedua dan anakda.
Maka tiada berapa lamanya di dalam Riau maka Pangeran Suta Wijaya pun berbicaralah dengan kekanda yang di pertuan muda hendak mendudukkan anakda raja Ibrahim dengan anakda raja Anduk. Kemudian dari itu maka yang di pertuan muda pun muafakat dengan adinda yang di pertuan Selangor dan Pangeran Suta Wijaya lalulah di kahwinkan antara anakda kedua.
Kemudian dari itu yang di pertuan Selangor pun bermohonlah kepada kekanda yang di pertuan muda maka lalulah yang di pertuan Selangor berangkat kembali berangkat ke Selangor dan anakda raja Ibrahim tinggal di Riau. Syahdan maka yang di pertuan Selangor pun berlayarlah kembali ke Selangor dari Riau maka sampailah ke Selangor maka yang di pertuan pun semayamlah menanti adinda baginda Pangeran. Setelah yang di pertuan Selangor kembali ke Inderagiri dan tiada berapa lamanya di Inderagiri lalu berangkat ke Selangor maka yang di pertuan Selangor pun berlengkap lalu berlayar ke Kedah.
Setelah sampai ke Perak maka pangeran Suta Wijaya pun singgah di Perak kemudian daripada itu maka Pangeran pun keluar dari Perak berlayar ke Kedah. Sampai ke Pangkor maka Pangeran Suta Wijaya berputera seorang laki2 di namai raja Jaafar dan timang timangan Raja Laut. Telah itu maka Pangeran Suta Wijaya pun berlayar ke Kedah sampai ke Tabangu maka Pangeran Suta Wijaya pun berhenti di Tabangu dengan Seliwatang serta dengan orang banyak sekelian antara itu suruh menyuruhlah kekanda beringatan perjanjian setia orang tua-tua.
Maka di dalam pada itu mungkirlah orang Kedah lalu perang dengan kubu Tabangu tiada juga bertewasan. Kemudian lalu naik ke darat berjalan melanggar kubu Tabangu itu sehari itu juga di langgar maka kubu Tabangu itu pun alah yang naik Seliwatang serta orang banyak. Maka larilah orangnya ke Alor Setar maka lalulah mati nakhoda orang Bugis seorang mati bernama Lakwaluk. Kemudian dari itu maka Seliwatang serta orang banyak pun berjalanlah ke Alor Setar.
Setelah sampailah ke Alor Setar lalu menyeberang ke pengkalan kapal lalu ke kampung tengku Buang. Kemudian dari itu maka baharulah hilir ke kuala maka kuala pun alahlah lalu di buka rantainya kuala itu. Maka sekelian perahu pun di masukkanlah ke dalam sungai lalu mudik, setengah tinggal di kuala setengah maka merampaslah segala orang.
Tatkala itu kapal Keling baharu datang ada kira2 sebelas (11) kapal sekelian itu dapat belaka. Kemudian dari itu yang di pertuan Selangor baharu datang kerana baginda itu singgah di Perak lalu beristeri akan anak raja muda Perak maka tiada fakir lanjutkan khabarnya lagi.
Hikayat Johor di Leiden University Libraries
Transliterasi Jawi ke Rumi oleh Mahamada Al Mahadaya
Posting Komentar untuk "Pangeran Suta Wijaya ( Hikayat Johor ) "